• Daftar

Sejarah Penubuhan

LATAR BELAKANG MAIWP

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ditubuhkan pada 1 Februari 1974 serentak dengan penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Penubuhannya adalah bagi menjaga hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang sebelum itu diletakkan di bawah kerajaan negeri Selangor. MAIWP selepas itu turut bertanggungjawab menguruskan hal ehwal umat Islam di Labuan dan Putrajaya setelah kedua-duanya diumumkan sebagai Wilayah Persekutuan masing-masing pada 16 April 1984 dan 1 Februari 2001. Penubuhan MAIWP dinyatakan melalui peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505].


Perkara 3 (5) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa :
“Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; dan bagi maksud ini Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan- peruntukan bagi mengawal selia hal ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam.”

Seksyen 4(1), Akta 505 pula menyatakan:-
“Maka hendaklah ada suatu badan yang dikenali sebagai “Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan”, untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam perkara- perkara yang berhubungan dengan agama Islam.”

Bidang kuasa MAIWP pula dijelaskan melalui Seksyen 31, Akta 505 yang menyatakan:
“Majlis hendaklah membantu dan menasihati Yang di- Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara yang berhubungan dengan agama Islam di dalam Wilayah- Wilayah Persekutuan, kecuali perkara-perkara Hukum Syarak dan yang berhubungan dengan pentadbiran keadilan, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Akta ini.”

 


 

Share