• Daftar

 

Pengenalan

Pondok Moden Wilayah Persekutuan Al-'Abaqirah telah dicetuskan oleh Sahibul Samahah Datuk Dr Zulkifli bin Mohamad Al- Bakri, Mufti Wilayah Persekutuan hasil daripada permintaan masyarakat dan hasrat beliau untuk melahirkan cendekiawan Islam yang mahir dalam ilmu agama dan ilmu duniawi.

Mesyuarat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kali ke 131 bil 1/2015 pada 23 Mac 2015 bertempat di Masjid Wilayah Jalan Duta telah meluluskan penubuhan Pondok Moden Al-'Abaqirah.

 

Sebab nama Pondok Moden “Al-'Abaqirah”

Dinamakan sebagai Pondok Moden Al-'Abaqirah adalah kerana perkataan Al-'Abaqirah dalam bahasa arab yang bererti abqari iaitu genius atau teramat pintar. Antara ciri-ciri abqari itu ialah kecerdikan yang luar biasa, pantas membuat keputusan, tekun dan teliti dalam sebarang tindakan, memahami hikmah dan maslahat. Begitu juga sentiasa melihat dalam bentuk yang lebih luas dan jelas. Harapannya agar pelajar yang melalui sistem pembelajaran di pondok ini akan dapat menjadi tokoh ilmuan Islam yang benar-benar genius dan bijaksana. Hal ini akan dapat direalisasikan apabila paduan kerjasama yang erat antara guru, pentadbir dan juga pelajar disamping ibu bapa yang mahu mencipta kejayaan dengan masing-masing mengembeling seupaya tenaga, ilmu dan pemikiran untuk menzahirkannya.

 

Objektif Penubuhan Pondok Moden 

Objektif penubuhan pondok moden ini memfokuskan kepada perkara seperti berikut :

  1. Melahirkan ulama’ rabbani yang pakar dalam bidang agama dan kehidupan.
  2. Mengisi kepakaran Islam dalam pelbagai disiplin ilmu seperti syariah, akidah, akhlak (tasawuf), muamalat dan lain-lain. Disamping mengkaji kitab-kitab turath dalam bentuk transformasi dan moden.
  3. Melahirkan “faqih yang bersifat pendakwah dan pendakwah yang bersifat faqih” agar keperluan mengkaji kitab-kitab turath dalam bentuk tranformasi dan moden dan dalam saat yang sama mementingkan sahsiah dan ilmu para ulama’ terdahulu agar keberkatan ilmu sentiasa wujud.
  4. Sebagai barisan pelapis kepada Ashab Al-Samahah Mufti, hakim syarie dan juga pakar rujuk di Malaysia dan negeri-negeri amnya.
  5. Mengemukakan di pentas dunia Islam dan dunia watak sahsiah dan ilmiah seperti Dr. Yusuf al-Qaradawi, Maulana Abi Hassan al-Nadwi, Dr. Wahbah al-Zuhaili dan lain-lain yang menjadi bintang dan pelita kepada ummah pada masa kini.

 

Keistimewaan Pondok ini

Antara keistimewaan pondok ini ialah:

  1. Makan, Minum dan Asrama disediakan (PERCUMA)
  2. Kitab-kitab dan buku teks diberi (PERCUMA)
  3. Suasana pembelajaran yang kondusif
  4. Yuran RM500 untuk 8 Semester (4 Tahun)
  5. Guru-guru tempatan dan Antarabangsa (Timur Tengah)
  6. Pondok Moden yang pertama di Wilayah Persekutuan
  7. Pengajian di bawah seliaan dan pengawasan sepenuhnya oleh Sahibul Samahah Datuk Mufti Wilayah Persekutuan 

 

Perbezaan Antara Pondok Moden Al-'Abaqirah dengan Sekolah Agama dan Pondok yang lain.

Antara perbezaannya ialah:

  • Konsep pembelajaran Pondok Moden ini adalah berteraskan kitab-kitab turath dan disokong dengan pembelajaran akademik. Manakala konsep pembelajaran di sekolah agama dan pondok adalah berteraskan pembelajaran silibus azhari atau akademik sahaja.
  • Matlamat penubuhan pondok moden adalah bagi melahirkan golongan pelapis ulama’ dan mufti yang boleh mentafsir serta mengupas isu-isu serta masalah semasa berdasarkan kaedah dan hukum yang digariskan oleh para ilmuan Islam dan para fuqaha’ di samping mempunyai kelulusan akademik yang cemerlang serta mempunyai ijazah dan PhD.
  • Guru-guru yang mengajar adalah dari kulit kitab kepada kulit kitab yakni dengan menghabisi dan mengkhatamkan sebuah kitab. 
  • Sistem pembelajaran yang dijadualkan seawal jam 5.00 pagi sehingga 10.00 malam.


Syarat Pengambilan

Pelajar tingkatan empat selepas peperiksaan PT3 atau setaraf dengannya atau diperakukan oleh Sahibul Samahah Datuk Mufti Wilayah Persekutuan. Antara syarat berikut adalah:

  1. Terbuka kepada warga Malaysia (Lelaki sahaja)  
  2. Lulus peperiksaan PT3 2015 dengan mendapat sekurang-kurangnya 5A 
  3. Mampu membaca Al-Quran dengan lancar.
  4. Mempunyai minat yang mendalam dalam pengajian Kitab dan Al-Quran.
  5. Memiliki Akhlak dan Keperibadian yang baik.
  6. Tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah.
  7. Disahkan tidak mempunyai penyakit kronik.
  8. Pemohon yang layak akan dipanggil untuk ditemuduga. 
  9. Lulus Temuduga dan diperakukannya

 

Jangka masa pembelajaran

4 tahun (12 semester)

 

Tenaga pengajar dan Guru-guru

  • Pengambilan guru lebih tertumpu pada guru-guru yang berpengalaman bagi subjek akademik secara kontrak. 
  • Guru-guru bagi subjek agama daripada negara Arab seperti Syria, Iraq, Mesir, Arab Saudi dan lain-lain yang difikirkan sesuai. 
  • Guru-guru tasmik al-Quran memadai guru-guru tempatan seramai 3 orang setahun.
  • Guru-guru diberi gelaran sebagai muallim, murabbi, mursyid, faqih, usuli, al-allamah dan setiap subjek yang mengetuainya diberi gelaran sebagai al-Syeikh seperti subjek fiqh usul dan lain lain. Sedangkan yang menjadi ketua di gelar sebagai al- Syeikh al-Imam kerana meniru sedikit daya kepimpinan al-Azhar al-Syarif.  
 

 

Share