• Daftar

Wakaf

PENGERTIAN WAKAF

Bahasa: Berhenti (وقف), Menahan (حبس), Menghalang (منع)

Istilah/Syara’: “Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah S .W.T”

 

WAKAF

Mengikut Seksyen 61, Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] menjelaskan:

Walau apa pun apa-apa peruntukan yang bertentangan yang terkandung dalam mana-mana suratcara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal atau menyentuh perkara itu, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf khas, semua nazr ‘am, dan semua amanah daripada segala perihal yang mewujudkan apa-apa amanah khairat bagi menyokong dan memajukan agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut Hukum Syarak.”

 

Fungsi MAIWP Sebagai Pemegang Amanah Tunggal Wakaf Di Wilayah Persekutuan

  • Menguruskan penerimaan wakaf daripada orang ramai.
  • Mentadbir dan menjaga harta-harta wakaf agar terpelihara dengan sempurna.
  • Memberi kefahaman yang jelas kepada masyarakat tentang konsep dan amalan wakaf yang sebenar.
  • Meningkatkan penghayatan amalan wakaf dikalangan masyarakat demi memastikan syiar Islam terus unggul.
  • Memberi pendedahan yang meluas kepada masyarakat akan kepentingan pembangunan hartanah wakaf. 

 

Prosedur Mewakafkan Harta

  1. Pemohon perlu mengemukakan surat permohonan untuk mewakafkan harta kepada Baitulmal MAIWP serta melampirkan salinan hakmilik atau apa-apa bukti pengesahan pemilikan harta yang hendak diwakafkan.
  2. Bagi kes yang tidak mempunyai dokumen hakmilik sebenar, pemohon dikehendaki membuat surat akuan sumpah bagi mengesahkan perkara di atas.
  3. Pihak Baitulmal akan membuat lawatan dan siasatan terperinci terhadap harta yang hendak diwakafkan supaya status sebenar harta berkenaan dapat dikenalpasti.
  4. Pewakaf dikehendaki menyempurnakan surat cara wakaf yang disediakan oleh Baitulmal MAIWP.
  5. Baitulmal akan membuat pindahmilik tanah di Pejabat Tanah Dan Galian Wilayah Persekutuan dan menyelesaikan urusan proses pewakafan. 

 

Jenis-Jenis Wakaf

1.   Wakaf Khas 

Pewakaf mewakafkan hartanya untuk tujuan tertentu seperti membina masjid, sekolah agama dan sebagainya.

 

2.   Wakaf Am

Pewakaf mewakafkan harta untuk tujuan kebajikan Islam semata-mata tanpa ditentukan tujuan yang khusus. 

 

Rukun Wakaf 

  1. Pewakaf (Wakif)
  2. Harta yang diwakafkan (Mauquf)
  3. Penerima wakaf (Mauquf Alaih)
  4. Lafaz Wakaf (Sighah)

 

Syarat Harta Yang Diwakafkan (Mauquf) 

  1. Harta yang berbentuk kekal yang mempunyai nilai mengikut hukum syarak dan boleh diambil manfaatnya seperti tanah atau bangunan.
  2. Harta milik sempurna pewakaf
  3. Harta yang dapat diserahkan dan bukan hartanya ditahan seperti harta orang muflis dan harta anak yatim. 

 

Syarat-Syarat Sah Wakaf 

  1. Wakaf tidak dihadkan tempoh tertentu.
  2. Tujuan dan maksud wakaf hendaklah jelas.
  3. Wakaf dilaksanakan secara tunai tanpa syarat.

 

 

Share