Faraid & Pusaka

Harta pusaka yang terhak kepada MAIWP

Harta pusaka adalah semua harta yang dimiliki oleh si mati semasa hayatnya secara halal dan berterusan hak miliknya hingga kematiannya.

Harta pusaka yang terhak kepada BAZ MAIWP adalah harta yang ditinggalkan oleh si mati yang tiada waris atau tiada waris yang layak menghabisi harta tersebut setelah dibahagikan kepada waris yang berhak mengikut hukum syarak melalui Perintah Pembahagian Pusaka Kecil / Perintah Pembahagian Pusaka oleh Amanah Raya atau Perintah Mahkamah Tinggi.

Harta pusaka termasuk:

Semua harta yang diperolehi secara halal melalui jual beli, hibah, wasiat, pembahagian pusaka, hadiah, sedekah dan sebagainya.

Sewa yang masih belum dijelaskan kepada si mati.

Hutang kepada si mati yang dijelaskan selepas kematiannya.

Dividen/faedah yang terbit daripada harta si mati.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Barang yang terbit selepas kematiannya dari usaha semasa hayatnya, misalnya ikan yang masuk ke dalam bubu yang ditahan oleh si mati.

Harta pusaka tidak termasuk:

Harta yang telah diberi (hibah), dijual, diwakafkan, dan dipegang amanah oleh si mati kepada seseorang semasa hayatnya.

Khairat kematian.

Pemberian oleh orang yang menziarahi kematian.

Imbuhan, pampasan dan saguhati.

Pencen terbitan.

Bayaran-bayaran di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO)

Harta yang dipinjamkan daripada orang semasa hayatnya.

Proses terimaan harta pusaka oleh BAZ

  1. Terima maklumat harta pusaka yang terhak kepada BAZ
  2. Membuat siasatan awal/mendapatkan keterangan daripada waris/ saudara-mara si mati atau kenalan si mati.
  3. Mengemukakan kepada Mahkamah syariah untuk mendapatkan Sijil Faraid.
  4. Mengemukakan permohonan surat kuasa kepada Pejabat Pusaka Kecil, amanah Raya atau Mahkamah Tinggi.
  5. Menguruskan urusan pindah milik kepada BAZ.

Tebus pusaka

Sekiranya BAZ MAIWP memperolehi harta tak alih daripada pusaka yang terhak kepadanya, pihak waris boleh menebus harta tersebut berdasarkan nilaian semasa melalui:

  • Bicara di Pejabat Pusaka Kecil
  • Permohonan kepada BAZ
TOP