Soalan Lazim

Bagaimana kami boleh membantu?
Apakah fungsi MAIWP?
  • Pengurusan kutipan dan agihan Zakat
    • Menyelaras dan melaksanakan tugas dalam membuat kutipan zakat di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
    • Melaksanakan agihan zakat kepada asnaf yang layak mengikut hukum syarak.
    • Menggubal kaedah-kaedah MAIWP dalam melaksanakan agihan zakat.

    • Melaksanakan kegiatan pembangunan harta-harta MAIWP
      • Menubuhkan syarikat-syarikat yang berfungsi sebagai melaksanakan tugas-tugas MAIWP dan juga memenuhi tuntutan fardu kifayah yang memberi keuntungan kepada MAIWP.
      • Merancangan dan berusaha untuk menambahkan harta MAIWP melalui pemilikan hartanah dan pelaburan-pelaburan yang berlandaskan syariah.
      • Menyediakan garis panduan yang jelas dalam urusan penubuhan syarikat dan juga pembangunan hartanah di MAIWP.
      • Memajukan tanah-tanah MAIWP untuk kepentingan ummah.

      • Melaksanakan pembangunan modal insan
        • Merancang dan melaksanakan tanggungjawab dalam menyediakan tempat tinggal kepada pelajar-pelajar yang kurang kemampuan untuk mendapatkan pendidikan.
        • Menyediakan dan melaksanakan institusi pendidikan kemahiran kepada kaum remaja selaras dengan keperluan semasa.
        • Membangun dan menyediakan kemudahan pembelajaran asas kanak-kanak melalui penubuhan tadika-tadika Islam.
        • Bertanggungjawab dalam membela nasib wanita yang bermasalah dan juga keluarga yang tiada tempat tinggal.
      Apakah kaitan MAIWP dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)?

      MAIWP merupakan satu agensi yang berkait rapat dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). MAIWP merupakan badan penggubal dasar dan JAWI pula bertindak sebagai urus setia atau pelaksana sebahagian dasar yang telah diputuskan oleh MAIWP. Sebahagian besar strategi MAIWP yang berkaitan dengan pendidikan, pengurusan tempat beribadah, perkhidmatan dan kebajikan agama, kegiatan dakwah, undang-undang pentadbiran agama Islam adalah dilaksanakan oleh JAWI melalui bahagian-bahagian yang diwujudkan.

      Siapakah yang boleh memohon bantuan zakat MAIWP?

      Sesiapa sahaja yang tergolong dalam golongan fakir, miskin, amil,muallaf, al-gharimin (orang yang berhutang), ibnu sabil, fisabilillah dan ar-riqab. Antaranya orang miskin, pelajar sekolah dan pengajian tinggi, mereka yang ditimpa penyakit, peniaga kecil, pemandu teksi dan lain-lain lagi.

      Apakah syarat-syarat bagi memohon bantuan zakat MAIWP?

      Terdapat dua syarat iaitu syarat umum dan khusus. Syarat umum adalah Islam, warganegara Malaysia, menetap di Wilayah Persekutuan sekurang-kurangnya setahun dan bergantung kepada pengiraan keperluan asasi dan pendapatan isi rumah (Had al-Kifayah) Syarat khusus pula adalah bergantung kepada bantuan yang dipohon dan berbeza-beza mengikut skim bantuan.

      Bagaimanakah caranya untuk memohon bantuan zakat daripada MAIWP?

      Anda boleh datang sendiri ke Pusat Agihan Zakat MAIWP (PAZA) yg terdapat di setiap parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan atau hadir terus ke Menara MAIWP.

      Anda juga boleh mendapatkan borang bantuan permohonan zakat di atas talian di laman web www.maiwp.gov.my . 

      Berapakah jumlah bantuan zakat yang diberikan?

      Jumlah bantuan zakat yang diberikan kepada seorang pemohon yang layak adalah berbeza-beza mengikut jenis bantuan dan taraf kehidupan pemohon.

      Bolehkah saya memohon lebih daripada satu bantuan?

      Pemohon boleh memohon lebih daripada satu bantuan setelah pihak MAIWP mengenalpasti kelayakan pemohon.

      Adakah bantuan ini perlu dibayar semula?

      Tidak, semua bantuan yang diberikan bukan berbentuk pinjaman dan tidak perlu dibayar semula

      TOP