Hutang Pihak Ketiga

Hutang atau al-qard merujuk kepada penyerahan sesuatu barang atau harta daripada pemiutang kepada penghutang dengan syarat barang tersebut atau sesuatu yang sama nilai dengannya akan digantikan kembali kepada pemilik asal tanpa sebarang penambahan.

Orang yang berhutang mempunyai tanggungjawab untuk memulangkan barang yang sama atau serupa dengan apa yang dipinjam tanpa apa-apa tambahan terhadap harta yang dipinjam itu.

Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنْتُمْ بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُبْ بَيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”
(Surah al-Baqarah: 282)

Peranan Baitulmal ke atas hutang pihak ketiga

Di bawah Subseksyen 5(4), Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) :

“Majlis hendaklah mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai wasi sesuatu wasiat atau sebagai pentadbir harta pusaka seseorang si mati atau sebagai pemegang amanah mana-mana amanah.”

Dan di bawah Seksyen 60(1), Akta yang sama yang memperuntukkan bahawa :

“Suatu Kumpulan Wang yang dikenali sebagai Baitulmal adalah dengan ini ditubuhkan. Kumpulan Wang itu hendaklah terdiri daripada semua wang dan harta, alih atau tak alih, yang menurut Hukum Syarak atau di bawah peruntukan-peruntukan Akta ini atau kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya terakru, atau disumbangkan oleh mana-mana orang, kepada Kumpulan Wang.”

Walau bagaimanapun, pelunasan hutang kepada MAIWP adalah tertakluk kepada hutang-hutang yang gagal disampaikan kepada pemiutang seperti dalam keadaan berikut:

  • Pemiutang dan waris gagal dikesan;
  • Pemiutang meninggal dunia dan tiada waris atau warisnya tidak dapat dikesan;
  • Hutang di kedai yang telah tidak wujud; atau
  • Hutang kepada pembekal barangan yang tidak dapat dikesan.

Tatacara Penyerahan

Mengisi borang penyerahan Hutang Pihak Ketiga beserta jumlah wang hutang dan diserahkan kepada Unit Sumber Am, Bahagian Agihan Zakat MAIWP atau secara atas talian.



Tatacara Tuntutan

  • Mengisi borang tuntutan serta mengemukakan bukti berkaitan hutang tersebut.
  • Siasatan akan dijalankan berdasarkan bukti yang dikemukakan sebelum proses pemulangan bayaran Hutang Pihak Ketiga tersebut dilaksanakan.


TOP