Luqatah

Definisi

Harta yang ditemui di suatu kawasan yang tidak dimiliki, tidak dijaga, dan penemu tidak mengenali pemiliknya.


Dalil

Hadis daripada Zaid bin Khalid R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda :

اعْرِفْ وِكَاءَهَا وَعِفَاصَهَا، ثُمَّ عَرِّفْهَا سَنَةً، فإنْ لَمْ تَعْرِفْ فَاسْتَنْفِقْهَا، وَلْتَكُنْ وَدِيعَةً عِنْدَكَ، فإنْ جَاءَ طَالِبُهَا يَوْمًا مِنَ الدَّهْرِ فأدِّهَا إلَيْهِ

Yang bermaksud: “Kenalilah ikatan atau bungkusannya, kemudian umumkan selama setahun, jika kamu tidak kenali pemiliknya, gunalah ia dan jadikan nilainya sebagai simpanan kamu. Jika pemiliknya datang menuntutnya pada bila-bila masa, hendaklah kamu serahkan kepadanya.” (Riwayat Muslim)


Hadis daripada Mujahid bin Jabr R.A bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda :

ولا تَحِلُّ لُقَطَتُها إلَّا لِمُنْشِدٍ

Yang bermaksud: “Tidak halal luqatahnya kecuali bagi orang yang akan mengumumkannya.” (Riwayat Al-Bukhari)


Pengurusan Harta atau Wang Luqatah di MAIWP

Mana-mana orang Islam yang menemui harta atau wang luqatah boleh menyerahkan harta yang dijumpai ke Unit Sumber Am Bahagian Agihan Zakat MAIWP. Antara harta-harta luqatah yang diterima adalah wang tunai, barang kemas, peralatan komunikasi, perhiasan diri dan lain-lain barang yang bernilai.

Tatacara Penyerahan Harta Luqatah

Penemu hendaklah menyerahkan harta yang dijumpai ke Unit Sumber Am Bahagian Agihan Zakat MAIWP melalui cara berikut :

  • Mengisi borang serahan harta luqatah dan menyerahkan barang tersebut kepada pegawai di Unit Sumber Am Bahagian Agihan Zakat MAIWP berserta harta luqatah.
  • Satu surat akuan terima harta luqatah akan diberikan kepada penemu sebagai bukti penerimaan.

Pengurusan Harta Luqatah

Tindakan oleh pihak MAIWP adalah :

  • Menerima harta luqatah (harta yang dijumpai) oleh orang awam.
  • Mengeluarkan notis penemuan harta luqatah di premis awam berhampiran harta luqatah ditemui seperti Masjid atau di media rasmi MAIWP dan seumpamanya.
  • Membuat hebahan selama setahun.
  • Sekiranya tiada yang menuntut dalam tempoh setahun, pihak pengurusan MAIWP melalui Jawatankuasa Khas akan membuat keputusan bagi melupuskan harta luqatah tersebut melalui kaedah yang akan ditetapkan.


TOP