Takrif Asnaf

اِنَّمَا الصَّدَقٰتُ لِلْفُقَرَاۤءِ وَالْمَسٰكِيْنِ وَالْعَامِلِيْنَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوْبُهُمْ وَفِى الرِّقَابِ وَالْغَارِمِيْنَ وَفِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ وَابْنِ السَّبِيْلِۗ فَرِيْضَةً مِّنَ اللّٰهِ ۗوَاللّٰهُ عَلِيْمٌ حَكِيْمٌ

“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para muallaf yang dipujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”



Bagi menentukan asnaf yang layak menerima bantuan zakat di Wilayah Persekutuan, Bahagian Baitulmal telah menggunakan takrifan asnaf berpandukan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-51 pada 13 Mac 1999.





Fakir

Seorang yang tidak mempunyai sebarang harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan daripada sumber-sumber lain tetapi jumlahnya tidak sampai 50% daripada had kifayah untuk keperluan asas dirinya dan tanggungannya.




Miskin

Seorang yang mempunyai pekerjaan atau pendapatan yang melebihi 50% tetapi tidak mencapai had kifayah untuk keperluan asas dirinya dan tanggungannya.



Muallaf

Mereka yang dijinakkan hatinya atau mereka yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau yang memeluk Islam (tetapi belum kukuh Islamnya).

Ar-Riqab

Orang Islam yang dibelenggu atau dieksploitasi dari aspek pemikiran, harta benda, kekuasaan dan kebebasan yang tidak mampu membebaskan dirinya daripada belenggu tersebut.

Golongan yang dikategorikan di bawah asnaf Ar-Riqab :

  • Kesalahan yang berhubungan dengan akidah
    • Kejahilan dalam agama seperti murtad
    • Ajaran sesat
    • Fahaman-fahaman yang bertentangan dengan akidah ahli Sunnah Wa Jamaah seperti liberalisme, orientalisme dan lain-lain.
  • Kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama islam dan institusinya
    • Menolak kemudharatan seseorang individu daripada belenggu pemikiran yang dialami.
    • Perluasan asnaf ini bagi kes-kes : mencaci / menghina / mencabar agama atau Institusi Islam.
  • Kesalahan yang berhubungan dengan kesusilaan
    • Menyelamat / melindungi wanita atau lelaki daripada terjerumus aktiviti-aktiviti tidak bermoral.
    • Aktiviti Pelacuran
    • LGBT (lesbian, gay, bisexual dan transgender) dan lain-lain
  • Kesalahan yang berhubungan dengan dadah
    • Mereka-mereka yang terlibat secara langsung atau tidak seperti pengedar / penagih dan dalam proses pemulihan.
    • Termasuk juga yang terlibat dalamlain-lain aktiviti penagihan seperti pil-pil kuda, estacy dan seumpamanya.
  • Terbelenggu dengan penyakit kronik
    • Pesakit Aids / HIV / TIBI adalah terbelenggu dari segi kebebasan dan dari menjalani kehidupan yang sihat.
  • Individu yang ditinggalkan dan tiada tempat bergantung
    • Bayi yang ditinggalkan ini terbelenggu kehidupan daripada kejahilan terhadap agama, kebebasan dan harta.
    • Diperluaskan kepada isteri / suami / ibubapa / anak-anak yang ditinggalkan adalah termasuk dalam belenggu agama, kebebasan dan harta
    • Diperluaskan juga kepada golongan gelandangan
  • Kes-kes ancaman dan keselamatan
    • Perluasan bantuan melalui asnaf bagi kes-kes yang mengancam keselamatan nyawa, maruah diri dan keluarga seperti hutang ah long.
    • Hilang tempat perlindungan kerana dihalau oleh keluarga / tuan rumah sewa


Al-Gharimin

Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga dan tanggungannya atau masyarakat serta individu yang ditimpa musibah dan hutang yang dibenarkan oleh hukum syarak.

Ibnu-Sabil

Mana-mana orang yang berada dalam perjalanan atau baru hendak memulakan perjalanan dari mana jua negeri atau negara dengan tujuan yang dibenarkan Syarak dan memerlukan bantuan bagi meneruskan perjalanan sehingga mencapai tujuan.

Pembahagian kategori Ibnu Sabil oleh Mazhab Shafi'e :

  • Anak watan / Orang yang bermukim di suatu tempat yang hendak memulakan perjalanan.
  • Orang asing yang terkandas dan tidak dapat meneruskan perjalanan.


Fisabilillah

Mana-mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam sesuatu aktiviti untuk menegak, mempertahan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.

Amil

Mereka yang dilantik secara langsung oleh pemerintah dan ulul amri samaada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, pengagihan, pengurusan kewangan dan sebagainya.

Kedudukan Pembahagian Amil

  • Bahagian Amil adalah berdasarkan tugas yang mereka laksanakan lebih wajar untuk dipraktikkan daripada soal pembahagian satu perlapan atau seumpamanya.
  • Pandangan Jumhur Ulama : Hak yang diberikan kepada Amil adalah mengikut kerja yang dilakukannya, kesusahan dan bebanan kerja

Kedudukan Amil Sesuatu Negeri Pungut Zakat di Negeri Lain

  • Tidak dibenarkan kerana terdapat halangan daipada perundangan negeri sendiri.
  • Berdasarkan kepada perundangan di Wilayah Persekutuan iaitu Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan kuasa kepada Majlis atau wakilnya untuk memungut zakat.

Kedudukan Orang Bukan Islam Menjadi Amil

  • Orang bukan Islam tidak boleh dilantik menjadi amil zakat.
  • Pandangan Ulama : Kerja yang mensyaratkan amanah maka disyaratkan Islam dan tidak seharusnya kafir menguasai urusan kaum muslimin.

Kedudukan Perempuan Menjadi Amil

  • Harus wanita dilantik menjadi Amil

Kedudukan Amil melantik Amil lain bagi pihak dirinya (Amil ata Amil)

  • Pihak lain termasuk Amil yang telah dilantik tidak mempunyai kuasa untuk melantik pihak ketiga untuk menjalankan tugas bagi pihak dirinya.
  • Seksyen 16(b) Akta kesalahan Jenayah Syariah menyatakan amil yang dilantik tidak mempunyai kuasa untuk melantik pihak ketiga untuk menjalankan tugas bagi pihak dirinya.
TOP