Wang Tak Patuh Syariah

Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan yang diwartakan pada 19 Ogos 2021 : Harta yang diperoleh dengan cara yang menyalahi hukum Syarak seperti harta yang diperoleh hasil daripada riba, rasuah, judi, gharar dan sebagainya.

Manakala kebanyakan fuqaha’ mutakhir ini mentakrifkan harta tidak patuh syariah ialah harta yang dimiliki dan diperolehi melalui wasilah yang tidak diiktiraf oleh syarak seperti rompakan, rampasan, hasil jualan barang curi, rasuah, perjudian, loteri, transaksi riba, perlindungan insurans konvensional, keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah dan seumpamanya.

Firman Allah SWT :

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Yang bermaksud: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah: 188)



Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Ma’idah: 90)

Jenis - Jenis Sumber Wang Tidak Patuh Syariah

  • Transaksi riba’
  • Rasuah
  • Judi atau loteri
  • Pelindungan insurans konvensional
  • Hasil rompakan atau curi
  • Keuntungan pelaburan di dalam sekuriti tidak patuh syariah
  • Dan sebagainya (Pendapatan dari aktiviti yang tidak selaras dengan syariah)

Kaedah Melupus Wang Tidak Patuh Syariah


Kaedah yang pertama : Memulangkan semula kepada yang berhak
  • Imam al-Nawawi berkata :
    “Sekiranya bersama seseorang itu suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya. Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya.” (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9:351; Irsyad Al-fatwa Siri Ke-452 : Hukum Menguruskan Sumber Hasil Kewangan Tidak Patuh Syariah Untuk Aktiviti Kebajikan)
  • Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 :
    “Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya.”


Kaedah yang kedua : Diserahkan kepada baitulmal untuk maslahat umum
  • Fatwa Berkenaan Dengan Pengurusan Wang Tidak Patuh Syariah (Fatwa Mufti Wilayah Persekutuan yang diwartakan pada 19 Ogos 2021) :
    “Harta tersebut (harta tidak patuh Syariah) hendaklah diserahkan kepada Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (“MAIWP”) dan diagihkan untuk maslahat umum.”
  • Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009 :
    “Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.”

Tatacara Penyerahan

Mengisi borang penyerahan Wang Tidak Patuh Syariah beserta jumlah wang atau barangan dan diserahkan kepada Unit Sumber Am, Bahagian Agihan Zakat MAIWP atau serahan wang secara atas talian.



TOP