MAIWP TAJA MAHASISWA ASNAF PULANG BERAYA DI KAMPUNG HALAMAN

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) taja 10,000 org pelajar yang kurang berkemampuan pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri.

Majlis pelancaran Jom Balik Raya Bersama Mahasiswa diadakan di Universiti Poly-Tech Malaysia, Cheras sebagai tuan rumah.

Pengerusi MAIWP, Tn Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, sumbangan ini merangkumi bantuan tiket bas, bantuan tiket kapal terbang dan wang saku sepanjang perjalanan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM 1,628,000.00.

"MAIWP telah bekerjasama dengan 8 buah institusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur untuk menghantar pulang para mahasiswa dan mahasiswi ke kampung halaman dengan pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh MAIWP".

Dalam majlis itu, Pengerusi MAIWP turut menyampaikan gerobok rezeki Universiti kepada 10 buah universiti iaitu Universiti Malaya, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Poly-Tech Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kolej Islam Antarabangsa, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia Kuala Lumpur, Kolej Queens dan Universiti Kuala Lumpur dengan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM 3 juta.

Turut hadir bersama YBhg. Datuk Mohd Nizam Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP dan YBrs. En Mohd Fauzi bin Abidin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ( Pengurusan) MAIWP serta barisan pengurusan universiti.

 

TOP