APC 2023: MENEPATI KEHENDAK DAN KEPERLUAN MAIWP

  

27 Jun - Pusat Dagangan Dunia (PDD), Kuala Lumpur, menyaksikan seramai 92 pegawai menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 229 pegawai menerima Sijil Penghargaan Perkhidmatan (SPP) dan 63 pegawai menerima anugerah khas dikenali Anugerah Perkhidmatan Setia (APS) sebagai penghargaan kesetiaan pegawai telah berkhidmat selama 25 tahun di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

 

Anugerah-anugerah tersebut disampaikan oleh YB Senator Dato’ Setia Mohd Na'im bin Hj Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan disaksikan oleh Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP dan Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP.

 

Turut hadir memeriahkan penganugerahan ini dari kalangan Ahli MAIWP dan Ketua-ketua Pegawai Eksekutif Syarikat milik MAIWP.

 

Dalam ucapan YB Menteri, beliau merakamkan tahniah kepada semua penerima anugerah kerana hasil usaha yang diraih; gigih, komitmen kukuh, kesetiaan dalam perkhidmatan dipenuhi sifat keikhlasan.

 

“Setiap langkah yang diambil telah memberi kesan yang positif kepada masyarakat dan organisasi yang kita cintai, MAIWP.

 

“Semoga dengan pengiktirafan ini akan membangkitkan lagi semangat serta menjadi inspirasi untuk semua warga MAIWP berkhidmat dengan lebih cemerlang,” ujar beliau.

 

YB Senator Menteri membacakan ayat Al-Quran dalam surah At-Taubah ayat 105:



 

“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.”


Dalam Al-Quran disebut tentang amanah pada beberapa surah, antaranya;




“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Quran, surah An-Nisaa': 58)


“Program Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini tidak hanya mencerminkan kecemerlangan individu tetapi juga semangat kebersamaan dan keupayaan bersama untuk mencapai matlamat yang lebih besar,” ucap YB Menteri.


Beberapa hari yang lalu, YB Menteri juga terlibat dalam majlis gilang-gemilang Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di peringkat Agensi Agama di bawah Menteri; YADIM, JAKIM, JKSM, JAWI, Pejabat Mufti, Mahkamah Syariah, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan.


Ketika menyampaikan ucapan aluan, Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, menyatakan sehingga Mei 2024, MAIWP telah digerakkan oleh 1,148   pegawai yang terdiri daripada 373 pegawai tetap dan 775 pegawai lantikan kontrak dari pelbagai profesion perjawatan, pentadbiran, teknikal, kewangan dan pengajar di institusi-institusi milik MAIWP.

  

“Baru-baru ini, barisan Ahli MAIWP yang baharu telah meneliti Pelan Stretegik MAIWP 2021 - 2025 melalui Bengkel Retreat Ahli MAIWP serta telah mencapai beberapa resolusi yang diputuskan; antara pemerhatian yang dibuat menimbulkan rasa kagum dengan pencapaian dan aktiviti MAIWP yang telah dilaksanakan.

 

“Walaupun dengan jumlah pegawai yang ada, namun MAIWP telah berjaya melaksanakan pelbagai tugasan yang boleh diberi pujian serta diiktiraf, contohnya, Bahagian Teknologi Maklumat, telah berjaya mewujudkan beberapa sistem pengurusan secara dalaman yang mana hasilnya menepati kehendak dan keperluan MAIWP sendiri.

 

“Syabas dan Tahniah kepada semua warga kerja MAIWP,” ucap Pengerusi MAIWP ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 dan Anugerah Perkhidmatan Setia (APS) MAIWP iaitu anugerah khas baharu diperkenalkan.


TOP