RAHMAH AIDILFITRI BERSAMA ASNAF

30 Mac - Rahmah Syawal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), jalinan Aidilfitri bersama asnaf dilaksanakan saban tahun sebagai keprihatinan dan ramah mesra tanda syukur kepada Allah SWT.

Bertempat di Dewan Perdana Felda, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, MAIWP menyantuni golongan asnaf bukan hanya meliputi keperluan hidup mereka tetapi juga sebagai meraikan keceriaan kehidupan. Menurut YB Menteri, Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Nai’m bin Haji Mokhtar, Menteri Di Jabatan Perdana menteri (Hal Ehwal Agama) sebelum Syawal 1445H, MAIWP menyalurkan bantuan Aidilfitri sebanyak RM500.00 kepada 32,250 asnaf Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan jumlah peruntukan RM16,125,000.00.

Pada majlis ini, sumbangan Aidilfitri MAIWP kepada 600 asnaf terpilih; dewasa 400 orang menerima RM350.00 seorang manakala 200 kanak-kanak  menerima RM50.00 seorang. Dalam majlis yang sama, MAIWP melancarkan Projek Mobile Lab Internet 2 yang dikendalikan oleh Pertubuhan Kebajikan Dana Kita,  dengan peruntukan sebanyak RM1.2 juta.

Turut hadir Tuan Haji Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, Ahli-Ahli MAIWP, Wakil-wakil Agensi di Bawah JPM (Hal Ehwal Agama) dan wakil-wakil anak syarikat MAIWP.

MAIWP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pembayar zakat yang menunaikan zakat kepada Pusat Pungutan Zakat MAIWP. Tanpa komitmen mereka, sudah tentu program bantuan seperti ini tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya.

TOP