MAIWP LANCARKAN TAKWIM 1446 HIJRAH

3 Julai - Pelancaran Takwim Hijrah 1446 Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) disempurnakan oleh YBhg. Tuan Haji Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer di Dewan Seminar IR Mohd Mazlan, Aras 10, Menara MAIWP, Kuala Lumpur.

Menurut Tuan Haji Syed Kamarulzaman, penggunaan Takwim Hijrah menjadi pilihan kedua (secondary) selepas Kalender Gregorian dan bukan utama di kalangan masyarakat Islam khususnya pada masa kini.

Bersempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun penubuhan MAIWP, beberapa acara diadakan, antaranya; MAIWP berhasrat mengembalikan syiar dan amalan membudayakan penggunaan Kalender Hijrah di kalangan masyarakat Islam.

“Pada hari ini MAIWP melancarkan Takwim 1446 Hijrah.

“Bagi tujuan tersebut, MAIWP mengambil peluang untuk mempromosi dan meningkatkan ‘visibility’ (keterlihatan) MAIWP kepada masyarakat khususnya sebagai agensi Agama Islam yang ulung dan sentiasa dicontohi di negara ini secara amnya.

“Sebagaimana sedia maklum, MAIWP merupakan agensi Agama Islam yang tertinggi di Wilayah-Wilayah Persekutuan, penggunaan Takwim Hijrah menjadi pilihan kedua (secondary) selepas Kalender Gregorian dan bukan utama di kalangan masyarakat Islam khususnya pada masa kini,” ucap Tuan Haji Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, ketika merasmikan Bicara Korporat: Pematuhan Syariah Dalam Pengurusan Organisasi dan Pelancaran Takwim Hijrah 1446 MAIWP di Dewan Seminar IR Mohd Mazlan, Menara MAIWP, di sini.

Data dan sumber rujukan dalam menerbitkan serta mencetak Kalendar Hijrah ini diperolehi dengan kerjasama dan ihsan daripada Persatuan Falak Syarie Malaysia.

Maklumat yang dimasukkan dalam Takwim Hijrah, istimewa kerana dilengkapi bukan sahaja dengan bulan-bulan Islam, malah dimasukkan juga keadaan bulan pada tarikh-tarikh tertentu dan kisah serta sejarah Islam yang berlaku pada tarikh tertentu.

Di samping itu, ada dinyatakan kedudukan bulan pada ufuk, lokasi serta bentuk bulan pada tarikh tertentu.

Selain Pelancaran Takwim 1446 Hijrah MAIWP, sesi Bicara Korporat: Pematuhan Syariah Dalam Pengurusan Organisasi MAIWP turut diadakan.

“Seiring dengan perkembangan dunia korporat pada masa kini, keperluan untuk memastikan setiap aspek pengurusan dan operasi organisasi patuh syariah adalah semakin mendesak.

“Sesi bicara korporat ini diadakan bertujuan untuk memperkukuh kefahaman kita terhadap aspek-aspek penting dalam pematuhan syariah dan bagaimana ia boleh diimplementasikan dengan berkesan dalam pengurusan MAIWP kelak,” ujar Tuan Haji Syed.

MAIWP memainkan peranan yang amat penting menjalankan aktiviti-aktiviti utama di Wilayah Persekutuan seperti pengurusan zakat, pengurusan wakaf, pembangunan modal insan, pembangunan hartanah, pelaburan dan pengurusan sumber Islam yang lain.

Berdasarkan amalan semasa, perbincangan perkara/isu berdasarkan amalan pematuhan syariah di MAIWP akan terus dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak bagi mendapatkan pandangan dan segala bentuk program/aktiviti MAIWP akan diteliti secara mendalam agar menepati keperluan MAIWP dan menepati hukum syarak.

“MAIWP sedar bahawa pematuhan syariah bukan sekadar satu tuntutan, tetapi juga satu nilai tambah yang mampu meningkatkan integriti, kepercayaan, dan kredibiliti pengurusan MAIWP di mata masyarakat khususnya asnaf, pembayar zakat dan pihak berkepentingan terhadap MAIWP,” ujar Pengerusi lagi.

Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman, Ahli MAIWP, membicarakan tajuk: Keperluan dan Cabaran Pematuhan Syariah Dalam Tadbir Urus Institusi Islam.

Manakala slot kedua dengan tajuk: Ke Arah Perlaksanaan Hospital Patuh Syari’ah: Pengalaman di Hospital Pakar an Nur, oleh Dr. Shaharom Md Shariff, Pengarah Medik Nur Rahmah Berhad. COO Kajang Plaza Medical Centre, Kajang Selangor Darul Ehsan.

Dengan beredarnya Takwim Hijrah 1446 ini dapat memupuk budaya guna pakai bulan-bulan Islam dalam kehidupan kita seharian.

TOP