BANTUAN IHYA’ RAMADAN DAN TAULIAH AMIL ZAKAT FITRAH 2023

15 Mac - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membantu untuk menggerakkan aktiviti pengimarahan Ramadan atau disebut sebagai Ihya’ Ramadan dengan menyalurkan sumbangan Ihya’ Ramadan kepada 809 buah masjid, surau Jumaat dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak RM46 juta dana zakat disalurkan; RM15,000.00 kepada masjid, RM12,500.00 kepada surau Jumaat dan RM11,000.00 kepada surau biasa.

Ini adalah keprihatinan MAIWP untuk menyediakan pelbagai kemudahan dan menjaga kebajikan serta keperluan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan termasuk keperluan di masjid dan surau.

Majlis disempurna oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama yang turut menyampaikan mock cek Bantuan Ihya Ramadan kepada wakil di setiap zon di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Dalam majlis tersebut juga melancarkan Iftar Ramadan Rahmah yang memperuntukan sebanyak RM4 juta dengan melibatkan 70 buah masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan.

Makanan Iftar Rahmah Ramadan akan diagihkan secara percuma sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Selain itu, kadar zakat fitrah Wilayah Persekutuan diumumkan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana dengan penetapan 3 kadar sepertimana dipersetujui oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ Wilayah Persekutuan iaitu RM7, RM14 dan RM 21 seorang. Penetapan kadar zakat fitrah pada kadar RM7.00 ini berdasarkan kepada satu Gantang Baghdad atau harga bagi 2.6 kilogram beras yang lazimnya digunakan oleh masyarakat di Wilayah Persekutuan. Manakala, dua lagi kadar zakat fitrah RM14 dan RM21 ditetapkan kepada mereka yang berkemampuan dan ingin membayar mengikut harga beras dimakan bagi diri dan tanggungan.

Pada tahun ini PPZ-MAIWP telah melantik seramai 921 orang ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Wilayah Persekutuan untuk mengutip zakat fitrah sama ada di 10 kaunter zakat PPZ-MAIWP, masjid-masjid, surau-surau, pasaraya dan beberapa lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai. Setiap amil juga dibekalkan dengan Kod Respon Pantas atau Quick Response Code (kod QR) bagi memudahkan transaksi tanpa tunai.

PPZ-MAIWP turut menyediakan pembayaran secara dalam talian melalui pautan fitrah.zakat.com.my yang membolehkan bayaran dibuat melalui telefon pintar atau komputer pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Malahan semakan resit rasmi boleh di semak pada bila-bila masa tanpa perlu khuatir kehilangan resit bayaran.

PPZ-MAIWP juga turut melantik 28 ejen-ejen online kutipan zakat fitrah termasuk 15 buah perbankan internet, Ewallet (Boost, Shopee, Tulus, The Noor, GoPayz dan Mae) dan Portal (SenangPay, Myeg, PayHalal, MyPay, Elzar Shariah, Al Amin dan MyVerify). Pembayar zakat fitrah juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik melalui Kempen Imbas & Menang sepanjang Ramadan.

Unit Komunikasi Korporat
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
16 Mac 2023

-TAMAT-

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi:
Sutera Manis bin Zam Zam
Ketua Unit Komunikasi Korporat MAIWP
Tingkat 11, Bangunan Perkim
Jalan Sultan Azlan Shah,
Kuala Lumpur
Email : [email protected]
Telefon : 03-4047 9406 / 012-667 2594

Siti Noor Nazlia Binti Nordin
Unit Perhubungan Korporat Baitulmal MAIWP
Tingkat 20, Bangunan Perkim
Jalan Sultan Azlan Shah,
Kuala Lumpur
Email : [email protected]
Telefon : 03-4047 7626 / 014-981 2188

TOP