IKB LAHIRKAN 69 GRADUAN BERKEMAHIRAN TINGGI
Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) MAIWP telah menggarap kemahiran 69 pelajarnya dalam 6 bidang utama yang menjadi Hot Selling pekerjaan era kini terutamanya dalam bidang kemahiran dan perniagaan.
6 bidang tersebut adalah pengajian Perkhidmatan dan Penyajian Makanan (PPM), Rekaan Fesyen dan Pembuatan Pakaian Lelaki (RFPL), Rekaan Fesyen dan Pembuatan Pakaian Wanita (RFPW), Seni Reka Grafik Komputer (SGK), Teknologi Binaan Bangunan (TBB) dan Kejuruteraan Elektrik (KJE).
69 pelajar ini telah diraikan dalam Majlis Penganugerahan Sijil kali ke-30 yang disempurnakan oleh YB Tuan Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pegerusi MAIWP di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur.
Majlis graduasi ini diadakan setelah para graduan menamatkan tempoh pengajian selama 2 tahun tanpa gagal. Para graduan dianugerahkan Sijil lulus kecemerlangan IKB, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Perakuan Kekompetenan Pendawai Tiga Fasa Dengan Endorsan Pengujian (PW4) daripada Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Para pelajar IKB mendapat tajaan penuh daripada MAIWP dan sejurus tamat pengajian, mereka akan diberi khidmat nasihat percuma untuk persediaan kerjaya. Target utama MAIWP adalah anak didik hasil daripada dana zakat ini dapat berdikari, menjana pendapatan, mengorak langkah keluar dari kepompong kemiskinan dan meningkatkan ekonomi keluarga dan masyarakat.
Turut hadir menyerikan majlis Profesor Dr. Abdul Rahim bin Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MAIWP merangkap Ahli MAIWP, Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP.
TOP