MAIWP AGIH RM 9.45 JUTA KEPADA MASJID & SURAU UNTUK JUADAH BERBUKA PUASA

MAIWP telah menyalurkan sebanyak RM9.45 melalui Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk diagihkan kepada Masjid-Masjid dan Surau-Surau terpilih di Wilayah Persekutuan. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah melancarkan Program Iftar Rahmah Madani 1445H bertempat di Masjid Al-Akram, Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur.

Agihan tersebut adalah bagi tujuan penyediaan juadah berbuka puasa secara percuma kepada asnaf dan masyarakat sepanjang bulan Ramadan. Majlis perasmian disempurnakan oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir Tuan Haji Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP dan Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Pengarah JAWI.

Iftar Rahmah Madani 1445H adalah sebuah program berkonsepkan soup kitchen yang berpusat di masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan bagi menyediakan pek makanan dengan pelbagai jenis juadah berbuka puasa setiap hari secara percuma kepada golongan yang memerlukan.

Tujuan utama program tersebut dianjurkan adalah untuk membantu meringankan beban kos sara hidup dalam kalangan ahli kariah.

Kaedah pelaksanaan program adalah petugas masjid dan surau memasak juadah berbuka puasa secara bergotong-royong di dapur masjid dan surau serta dibungkus untuk diedarkan kepada penerima yang ditentukan dalam kalangan asnaf, B40, dan golongan yang memerlukan di sekitar Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Program Iftar Rahmah Madani 1445H dijangka dapat memberikan manfaat kepada 21,000 orang penerima setiap hari, manakala jumlah keseluruhan penerima manfaat yang dijangkakan sepanjang program tersebut berlangsung berjumlah 630,000

orang. Jumlah perbelanjaan yang diperuntukkan bagi menjayakan program pada tahun ini meningkat berbanding tahun lalu iaitu RM9.45 juta. Set hidangan yang lengkap disediakan merangkumi nasi, satu jenis lauk dan sayur, buah, kurma, dan minuman.

Pada majlis tersebut, YB Menteri turut menyampaikan sumbangan bakul makanan JAWI Food Bank berupa barangan keperluan asas seperti beras, minyak, gula, tepung dan susu kepada 100 orang asnaf dengan nilai barangan RM100 bagi setiap penerima.

Selain itu, cek cura peruntukan bernilai RM 9.45 juta diserahkan kepada wakil-wakil dari 70 buah masjid dan surau yang terpilih bagi menjayakan Program Iftar Rahmah Madani sepanjang bulan Ramadan.

 

 

 

TOP