KUNJUNGAN TUAN SHEIKH DR. ALI MAHYUDDIN AL-QARADAGHI

9 Julai - Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Sheikh Dr. Ali Muhyiddin Al-Qaradaghi, mengunjungi Menara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Kehadiran Sheikh Dr. Ali Muhyiddin bersempena pemilihan beliau sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa bagi tahun 1446H/2024M yang telah disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di PICC Putrajaya pada 1 Muharram 1446H bersamaan 7 Julai 2024.

Ketibaan beliau diiringi oleh Ustaz Ahmad Fauwaz bin Dato’ Ustaz Haji Fadzil, Ahli MAIWP, disambut oleh Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, Encik Mohd Fauzi bin Abidin, pengurusan MAIWP, Ketua-ketua Pegawai Eksekutif syarikat milik MAIWP, Guru-guru dan pensyarah di pusat pendidikan MAIWP.

”Saya sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dengan rendah diri ingin mengucapkan selamat datang yang penuh kehangatan kepada YBhg. Tuan Sheikh Dr. Ali Mahyuddin Al-Qaradaghi, yang merupakan seorang ilmuwan dan cendekiawan Islam terkemuka dari Kesatuan Ulama Sedunia. ”Kehadiran YBhg. Tuan Sheikh di Malaysia, khususnya di MAIWP, adalah satu kehormatan yang besar bagi kami.

”Saya mengambil peluang mengucapkan Syabas dan Tahniah kepada YBhg. Tuan Sheikh kerana telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa bagi tahun 1446H/2024M yang telah disampaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di PICC Putrajaya pada 1 Muharram 1446H bersamaan 7 Julai 2024 yang lalu. ”Kami di MAIWP amat berbesar hati menerima kunjungan ini dan mendapat peluang untuk belajar daripada pengetahuan dan pengalaman luas YBhg. Tuan Sheikh.

”Kehadiran dan lawatan YBhg. Tuan Sheikh merupakan satu peristiwa penting bagi kami, kerana ia mengukuhkan komitmen kami untuk mempromosikan pendidikan Islam, kebajikan sosial dan pembangunan masyarakat di Wilayah Persekutuan khasnya dan Malaysia amnya,” ucap Tuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi MAIWP, ketika kunjungan Sheikh Dr. Ali Mahyuddin Al-Qaradaghi di Menara MAIWP.

Suatu kehebatan Sheikh Dr. Ali Mahyuddin Al-Qaradaghi adalah dengan keilmuan dan pengalaman yang luas beliau dalam bidang zakat dan wakaf. Di samping kepimpinan beliau dalam Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa berperanan penting dalam menangani isu-isu kontemporari yang dihadapi dunia Islam, memberikan bimbingan dan memupuk perpaduan di kalangan umat Islam di seluruh dunia. Menurut Pengerusi MAIWP, adalah menjadi harapan MAIWP agar kunjungan Tuan Sheikh Dr. Ali Mahyuddin Al-Qaradaghi, tidak hanya memberi manfaat kepada MAIWP tetapi juga membawa berkat kepada kesemua umat Islam di Malaysia.

TOP