Kaffarah



Dari segi bahasa, ia bermaksud menutup. Dinamakan sedemikian kerana ia menutup dosa dan diberikan keringanan oleh Allah SWT.

Sementara dari segi istilah syarak adalah menunaikan kewajipan berbentuk harta atau tubuh badan disebabkan meninggalkan sesuatu tanggungjawab atau kewajipan hukum Syarak. Dengan ini, ia boleh dirumuskan sebagai satu tindakan yang boleh menghapuskan dosa sama ada dengan membebaskan hamba, bersedekah atau berpuasa dengan syarat-syarat tertentu.

Kaffarah Kerana Melanggar Sumpah, Firman Allah SWT :


لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَٰكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ ۖ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ ۖ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ۚ ذَٰلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ ۚ وَاحْفَظُوا أَيْمَانَكُمْ ۚ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Yang bermaksud:
“Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah olehNya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh.
Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba.
Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah – peliharalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (hukum-hukum agamaNya) supaya kamu bersyukur.”
(Surah al-Ma’idah: 89)

Kaffarah Kerana Zihar, Firman Allah SWT :


وَالَّذِينَ يُظَاهِرُونَ مِنْ نِسَائِهِمْ ثُمَّ يَعُودُونَ لِمَا قَالُوا فَتَحْرِيرُ رَقَبَةٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَتَمَاسَّا ۚ ذَٰلِكُمْ تُوعَظُونَ بِهِ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ. فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ مِنْ قَبْلِ أَنْ يَتَمَاسَّا ۖ فَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَإِطْعَامُ سِتِّينَ مِسْكِينًا ۚ ذَٰلِكَ لِتُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ ۚ وَتِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ ۗ وَلِلْكَافِرِينَ عَذَابٌ أَلِيمٌ.

Yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang ‘ziharkan’ isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur.
Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan. Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur.
Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliyah). Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
(Surah al-Mujadalah: 3-4)

Sebab dan Kesalahan Dikenakan Kaffarah

Persetubuhan Pada Siang Hari Bulan Ramadan

Ulama bersepakat mengenai kewajipan kaffarah bagi mereka yang merosakkan puasa dengan melakukan persetubuhan sama ada dengan perempuan dengan sengaja tanpa paksa.

Kaffarah yang dikenakan :

  • Berpuasa selama 2 bulan berturut-turut;
  • Atau jika tidak mampu berpuasa hendaklah memberi makan kepada 60 orang fakir miskin.

Melanggar Sumpah

Sumpah dari segi istilah Syarak bererti menguatkan sesuatu dengan menyebut nama ataupun sifat Allah SWT yang tertentu. Kaffarah sumpah bertujuan menutup dosa yang ditanggung oleh orang yang bersumpah kerana tidak menepati atau memungkiri sumpahnya.

Kaffarah yang dikenakan :

  • Memberi makan 10 orang fakir miskin;
  • Atau memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin.

Melanggar Nazar

Nazar adalah janji untuk melakukan kebaikan dengan niat mendekatkan diri kepada Allah SWT sama ada secara bersyarat atau tidak.

Kaffarah yang dikenakan :

  • Memberi makan 10 orang fakir miskin;
  • Atau memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin.

Ila’

Ila’ ialah sumpah yang dibuat oleh seseorang suami yang mampu bersetubuh untuk tidak menyetubuhi isterinya selama tempoh lebih daripada empat bulan atau tanpa menyebutkan tempoh atau dengan selama-lamanya

Kaffarah yang dikenakan :

  • Memberi makan 10 orang fakir miskin;
  • Atau memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin.

Zihar

Lafaz suami menyamakan mana-mana anggota Zahir isteri dengan anggota wanita mahram secara kekal (muábbad) kepada suami. Hukum zihar adalah haram dan haram bagi suami menyetubuhi isterinya (yang diziharkan) kecuali setelah ditunaikan kaffarah. Jika suami tidak mahu menunaikan kaffarah maka dia mesti menceraikan isterinya.

Kaffarah yang dikenakan :

  • Berpuasa selama 2 bulan berturut-turut;
  • Atau jika tidak mampu berpuasa hendaklah memberi makan kepada 60 orang fakir miskin.

Kadar Bayaran Kaffarah

Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-102 pada 30 Mei 2017 memutuskan Cadangan Penambahbaikan Pelaksanaan Fidyah dan Kaffarah di Bahagian Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan seperti berikut :


(a) Penentuan Takrifan Kadar Memberi Makan Kepada Orang Miskin Dalam Pelaksanaan Kaffarah

Mesyuarat bersetuju untuk menetapkan kadar memberi makan kaffarah tersebut sebanyak RM10.00 kerana mengambil kira kadar memberi makan kepada golongan miskin adalah yang bersesuaian pada masa sekarang.


(b) Penentuan Takrifan Kadar Memberi Pakaian Kepada Orang Miskin Dalam Pelaksanaan Kaffarah

Mesyuarat telah bersetuju untuk menetapkan kadar kaffarah memberi pakaian ini sebanyak RM60.00.


(c) Penentuan Kaffarah Bagi Persetubuhan Ketika Isteri Dalam Keadaan Haid

Mesyuarat memutuskan bahawa persetubuhan ketika isteri dalam keadaan haid, tidak diwajibkan membayar kaffarah . Walau bagaimanapun jika pelaku tersebut ingin juga membuat bayaran maka bolehlah membayarnya sebagai langkah berjaga-jaga dengan kadar samada satu kadar satu (1) Dinar* atau ½ Dinar mengikut harga semasa. [Satu (1) Dinar bersamaan 4.25g emas sebagaimana yang dinyatakan di dalam kitab Al-Fiqhul Islami Wa Adillatuhu karangan Dr. Wahbah Az-Zuhaili.]



Kalkulator Kiraan Kaffarah

Kiraan ini adalah kiraan asas. Jika terdapat sebarang kemusykilan, sila berurusan di kaunter Unit Sumber Am Bahagian Agihan Zakat MAIWP untuk kiraan yang lebih tepat.


Klik di sini untuk ke kalkulator kiraan Kaffarah


Taksiran Kaffarah


Bil Jenis Kesalahan Pengiraan Jumlah (RM)
1. Persetubuhan Pada Siang Hari Bulan Ramadan 60 X RM 10.00 600.00
2. Melanggar Sumpah 10 X RM 10.00 100.00
3. Melanggar Nazar 10 X RM 10.00 100.00
4. Ila' 10 X RM 10.00 100.00
5. Zihar 60 X RM 10.00 600.00
TOP